SATU KISAH ZUHUD

SATU KISAH ZUHUD
Ada kisah kesufian yang diceritakan oleh Ibnu Athaillah As Sakandary tentang seorang Sufi yang hidup kaya raya namun hartanya yang berlimpah ruah itu tidak menghalangnya untuk menjadikan dia seorang zahid. Dalam kisahnya itu Ibn Athaillah berkata:
“Seorang Guruku pernah bercerita, bahawa di Maghribi ada seorang Sufi yang hidupnya zuhud terhadap duniawi dan bersungguh sungguh dalam ibadahnya. Sumber hidupnya hanya apa yang diperolehi daripada memancing.
Pada suatu hari, salah seorang murid Sufi ini hendak pergi ke salah sebuah Kota. Maka, berkatalah Sufi tersebut, “Jika kamu sampai di Kota, maka temuilah saudaraku, sampaikan salamku padanya dan mintalah doa. Sesungguhnya dia adalah seorang Wali ALLAH."
Selanjutnya murid itu bercerita, “Aku tiba di tempat tujuanku. Ketika aku tertanya tanya tentang seorang yang dipesan oleh Guruku, segera aku ditunjukkan ke sebuah rumah tidak layak didiami, kecuali Raja Raja. Aku hairan. Ketika aku tanya di manakah dia berada, maka dijelaskan bahawa dia sedang bersama Raja. Hal itu menambahkan kehairanku.
Tidak berapa lama aku bertambah hairan, kerana orang yang aku cari itu sedang menunggang kudanya dengan pakaian dan kenderaan yang serba mewah, seolah olah dia adalah seorang Raja. Hampir saja aku batalkan niatku untuk bertemu dengannya. Namun hati ku berkata, Tidak baik melanggar perintah Guru.
Aku pun minta izin untuk masuk ke rumahnya. Ketika diizinkan masuk aku pun semakin hairan dengan banyaknya pelayan yang berpakaian serba indah. Aku berkata, saudaramu kirim salam padamu. Dia balik bertanya, Apakah kau dari sana? Aku menjawab, Ya. Lalu dia berkata, Jika kamu kembali pada saudaraku itu, katakan kepadanya, "Sampai bila kesibukanmu kepada duniawi itu akan berakhir? " Kehairananku makin bertambah setelah mendengar pesanan orang itu.
Dan ketika aku pulang kutemui Guruku, beliau bertanya, Adakah kamu berjumpa dengan saudaraku? Ya, sahutku. Lalu beliau berkata, Aku yakin pasti ada sesuatu pesanan untukku. Maka aku ceritakan apa yang kulihat dan apa yang dipesankan buat beliau. Mendengar ceritaku, Guruku menangis.
Setelah agak lama kemudian beliau berkata: “Sungguh benar ucapan saudaraku itu, memang ALLAH telah membersihkan hatinya dari duniawi, kerana dunia baginya hanya dijadikan di tangan lahirnya saja. Sedangkan aku mengambil dunia itu dari tanganku dan aku selalu memikirkannya."

No comments:

Post a Comment

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram...