HAKIKAT MADU DAN RACUN

Assalamualaikum wbt,
*HAKIKAT MADU DAN RACUN*
Racun sifatnya membunuh, tapi kalau pada pak tani, ianya dapat membersihkan kebunnya dari rumpai dan sekaligus memberikan hasil tuaian yang lebih berkualiti yang meningkatkan sumber pendapatan pak tani. Racun yang tadi sifatnya membunuh adalah penerus kehidupan bagi pak tani.
Madu sifatnya menyembuh. Banyak kelebihan dan khasiat yang ada di dalamnya. Untuk menuai madu, secara tradisinya kita terpaksa memusnahkan sarang lebah dan mengusir koloni lebah yang memiliki sarang tersebut. Untuk meneruskan 'kehidupan' kita, kita terpaksa pula memusnahkan 'kehidupan' yang lain. Madu yang tadinya adalah bersifat 'menghidupkan' memberi ancaman kemusnahan terbesar pula dalam kehidupan koloni lebah tadi.
Itulah dunia, kebaikan dan keburukan saling bergandingan dan bergantian umpama langkah kaki kiri dan kanan sewaktu kita mengorak langkah. Jika tidak kita akan terhenti dan tidak kemana-mana.
ﻛُﺘِﺐَ ﻋَﻠَﻴْﻜُﻢُ ٱﻟْﻘِﺘَﺎﻝُ ﻭَﻫُﻮَ ﻛُﺮْﻩٌ ﻟَّﻜُﻢْ ۖ ﻭَﻋَﺴَﻰٰٓ ﺃَﻥ ﺗَﻜْﺮَﻫُﻮا۟ ﺷَﻴْـًٔﺎ ﻭَﻫُﻮَ ﺧَﻴْﺮٌ ﻟَّﻜُﻢْ ۖ ﻭَﻋَﺴَﻰٰٓ ﺃَﻥ ﺗُﺤِﺒُّﻮا۟ ﺷَﻴْـًٔﺎ ﻭَﻫُﻮَ ﺷَﺮٌّ ﻟَّﻜُﻢْ ۗ ﻭَٱﻟﻠَّﻪُ ﻳَﻌْﻠَﻢُ ﻭَﺃَﻧﺘُﻢْ ﻻَ ﺗَﻌْﻠَﻤُﻮﻥَ
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(Surah Al-Baqarah : 216)
Kebaikan dan keburukan itu pada asasnya adalah pengertian dari akal kita yang terbatas. Pada setiap kejadian yang berlaku, pasti di dalamnya ada kebaikan dan keburukan kerana ianya adalah satu dan melengkapi. Sesungguhnya Allah SWT mentadbir alam ini dengan sifat Maha Penyayang dan Maha Adil. Sayangnya, hati yang tidak mengenal dan dalam keterbatasan ilmu, kita kecewa dan berputus asa dengan rahmat Allah.
Setiap perkara itu berlaku dengan hikmahnya yang tersendiri. Cuma kita yang terhijab lantaran kekurangan pada iman dan ilmu. Untuk melihat hikmah pada setiap perkara kita perlu memandang dari jendela syukur dan redha. Disitulah akan jelas segalanya. Bukan senang tapi disitulah jawapan.
Memahami hakikat ini, hati akan menjadi lebih tenang dan redha. Senang tak lupa diri, susah tidakkan kecewa dan berputus asa. Sebaliknya, mulut sentiasa bertakbir, bertahmid, bertasbih dan mengagungkan kebesaran dan kebijaksaan Allah SWT. Kerana pada setiap kejadian itu, baik atau buruk, hanya kesabaranlah kunci kejayaan yang hakiki.
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji’uun”. Mereka itulah yang mendapatkan keberkahan yang sempurna dan rahmat dari Rabbnya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
(Surah Al-Baqarah: 155-157)
Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram...