Mukjizat Puasa Melawan Barah

Pakar Barat Iktiraf

Dr Alexis Carrel, seorang pakar bedah dan ahli biologi Perancis yang juga penerima Anugerah Nobel dalam Fisiologi pada 1912 menyatakan dalam bukunya Man the Unknown“Frekuensi, keteraturan dan kecukupan makan dapat menghentikan sebuah fungsi yang memainkan peranan besar dalam kelangsungan bangsa manusia iaitu fungsi adaptasi dengan kekurangan makanan. Oleh kerana itu, sesekali manusia mesti berpuasa.”

“Puasa memiliki kesan bak tongkat sakti yang menyembuhkan penyakit akibat gangguan fungsi pencernaan dan pesakit yang diterapi pun melihat keajaiban luar biasa. Jenis penyakit berikutnya yang paling efektif disembuhkan dengan puasa adalah penyakit darah, kemudian penyakit tulang seperti reumatik.”

Dr Edward Dewey berjaya mengubati penyakit pada perut, busung air dan sejumlah radang di samping kelemahan dan kegemburan tubuh melalui terapi puasa. Ludwick Carnaro seorang ilmuan dari kota Bunduqiyyah (Itali) pada abad Renaissance ketika itu berusia 83 tahun menulis beberapa naskhah manfaat puasa.

Di Jerman, Dr Frederick Hofmann menemukan bahawa puasa boleh membantu mengubati penyakit epilepsi, bisul, kanser darah, katarak, tumor gusi, gusi berdarah dan borok pada mata. Beliau juga menyarankan para pesakitnya yang menderita penyakit apa pun untuk tidak mengambil sebarang bentuk makanan.

Di Rusia, Dr Peterfinia Minovdari Universiti Moskow dalam sebuah tesis pada 1769 menganjurkan untuk meninggalkan makanan secara total selama masa sakit dengan alasannya, “Puasa memberikan masa tenang pada perut yang memungkinkan orang sakit untuk melakukan pencernaan dengan seimbang begitu ia sembuh dan makan lagi.” Dr B.J. Sbaskiy dari universiti yang sama merumuskan, “Puasa memberikan ruang terjadinya peningkatan pengubatan dari dalam tubuh, tanpa suntikan dari luar. Dan ini adalah ubat penyembuh pelbagai penyakit kronik.”

Pada 1984, Dr Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita Islam yang berpuasa Ramadan. Berat badan mereka ditimbang di awal dan akhir Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar kortisol, testosterone, sodium, kalium, urea, glukosa, kolesterol dan asid lemak . Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Berat badan mereka ditimbang dan pemeriksaan darah dilakukan untuk mengukur kadar glukosa, bilirubin, kalsium, fosforus, protein, albumin, hormon perangsang folikel, hormon perangsang tiroid, testosterone, prolaktin, hormone luteinizing, tiroksin-4 dan tiroksin-3 dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan.

Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Dr Shahid Athar dalam Islamic Perspectives in Medicine menjelaskan perubahan tersebut memberi kesan baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak.

Sebenarnya sudah lama manfaat puasa ditemui kerana rumusan doktor terkenal di zaman Rasulullah SAW, Al-Haris bin Kaldah apabila ditanya tentang esensi ubat terbaik dan jawapannya ialah diet berpuasa kerana perut adalah rumah bagi segala penyakit. Sebab itulah Ibnu Sina dalam Al Qanun Fi Al-Tibb juga mengesyorkan manusia mengelak daripada makan dengan kenyang sehingga tiada ruang untuk baki makanan lain di dalam perut. Ia sesuai dengan sabda baginda riwayat Bukhari dan Muslim, “Orang beriman makan dalam satu usus, sedangkan orang kafir makan dalam tujuh usus.”

Merehatkan Tubuh

Setelah tubuh digunakan sepenuhnya selama tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun, walaupun tidak digunakan berterusan selama 24 jam. Pengarang buku The Hygienic System Volume III: Fasting and Sun Bathing for Healing Disease, Herbert M. Shelton menyenaraikan manfaat berpuasa pertamanya kepada kerehatan fisiologi kepada semua anggota tubuh badan selain membuang toksik dan memperbaharui sel-sel tiru.

Buang Racun dan Toksik

Secara dasarnya puasa adalah salah satu proses pembersihan atau detoksifikasi yang baik. Dr Mc Fedan seorang pakar perubatan antarabangsa menjelaskan, “Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekali pun dia tidak sakit; kerana toksin-toksin makanan dan ubat-ubatan berkumpul di dalam badan lalu menjadikannya seperti orang sakit dan membebankannya, maka keaktifannya akan berkurangan. Apabila seseorang berpuasa, dia akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin tersebut dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak pernah dialami sebelum itu”.

Toksin masuk ke dalam tubuh manusia melalui pemakanan memandangkan kebanyakan makanan pada masa ini mempunyai toksin melalui bahan-bahan penambah perisa, pewarna, pengawet dan bahan kimia lain. Malah toksin juga terkandung dalam udara yang tercemar. Akhir sekali, toksin turut dihasilkan dari dalam tubuh iaitu sisa-sisa pembakaran melalui sel-sel yang mengalir dalam darah seperti gas karbon dioksida, urea, keratin, ammonia, sulfur, asid urik, sisa-sia makanan yang telah dihadam dan gas-gas beracun yang terhasil daripada penapaian dan pembusukkan makanan seperti indole, skatole dan fynole.

Malah ia melindungi tubuh dari pembentukkan batu karang dengan peningkatan kadar natrium dalam darah dan unsur polina dalam air kencing yang akan menghalang penghabluran garam-garam kalsium yang akan membentuk batu-batu kecil di saluran air kencing.

Pembaharuan Sel-Sel Tisu

Seorang saintis pakar, Upton Sinclair berkata, "Perkara terbesar yang diberikan kepada kita melalui berlapar, ialah satu peringkat kesihatan yang baru. Demikian itu kerana organ-organ akan diperbaharui secara menyeluruh yang mana tugas-tugasnya yang pelbagai akan menjadi bertambah baik seterusnya menjadi lebih aktif. Tubuh akan diberikan peluang terbaik untuk dibersihkan daripada timbunan toksik-toksik dan kumuhan-kumuhan di antara ruang-ruangnya serta pada teras tisu ototnya".

Carlson dan Kunde daripada Jabatan Fisiologi, Universiti Chicago dalam Journal of Metabolic Research telah membuktikan dalam eksperimennya bahawa berlapar untuk jangka masa seminggu memadai untuk pembaharuan sementara tisu-tisu di dalam tubuh seseorang manusia yang berumur 40 tahun dengan mengembalikan keadaan tisu-tisu tersebut kepada tugas (fisiologi) yang menyamai keadaan seseorang yang umurnya 17 tahun sementara berlapar dalam jangka masa 30 hingga 40 hari akan meningkatkan kadar metabolisme sebanyak lima hingga enam peratus.

Kecerdasan Mental dan Emosi

Apabila badan bebas daripada bahan-bahan toksik terutama di dalam darah maka kemampuan berfikir akan mampu ditingkatkan dan emosi menjadi lebih stabil. Tenaga yang tidak diperlukan oleh usus dalam proses penghadaman akan dihantar ke otak untuk proses berfikir semasa hari pertama hingga hari ketiga berpuasa. Daniel Golemen dalam bukunya Emotional Intelligence menulis tentang kajian seorang ahli psikologi terhadap sekumpulan kanak-kanak berumur empat tahun dan pemerhatian selepas 14 tahun kemudian iaitu semasa mereka tamat persekolahan menengah menunjukkan bahawa kebolehan menahan nafsu makan menjadikan mereka lebih pandai dalam pelajaran, mempunyai emosi yang stabil, dapat mengawal perasaan dalam keadaan tertekan, lebih berdikari dan disukai rakan.

Mencegah Penyakit Mental dan Jiwa

Puasa adalah suatu pencegahan daripada penyakit mental dan jiwa yang telah terbukti dalam menangani penyakit ‘split personality’. Dalam satu kajian terhadap 1,000 pesakit mental yang membiasakan diri berpuasa, pemeriksaan semula selepas enam tahun mendapati 65 peratus daripada mereka mengalami perubahan positif. Dr Yuri Nikolayev daripada Institut Psikologi di Moscow menyimpulkan, “Rawatan dengan berlapar memberikan kerehatan kepada semua sistem saraf dan minda. Tubuh dibersihkan daripada racun-racun dan tisu-tisu serta pelbagai kelenjar akan diperbaiki. Merehatkan minda membentuk asas rawatan untuk pelbagai gangguan‘neuropsychiatric’. Puasa merupakan kaedah rawatan dalaman tanpa melalui proses pembedahan.”

Aktifkan Organ Reproduksi

Berdasarkan hasil kajian di laboratorium haiwan Lembaga Penelitian Ternak, Amerika Syarikat terhadap 846 ekor ayam telur yang produktivitinya telah menurun, terbukti bahawa 75 peratus ayam-ayam tersebut dapat kembali bertelur setelah diberikan terapi puasa selama 10 hari. Sebelumnya ayam-ayam tersebut telah menjalani masa bertelur antara 12 hingga 14 bulan.

Peningkatan fungsi organ reproduksi ini berkait dengan peremajaan sel yang membawa perubahan pada sel-sel urogenitalis dan jaringan-jaringan organ reproduksi wanita. Di masa inilah berlakunya perubahan metabolik terutama kelenjar-kelenjar endoktrin induk telur yang menghasilkan lebih banyak estrogen dan progesteron. Ketinggian kadar kedua elemen ini dapat meningkatkan fungsi organ reproduksi dan kesuburan.

Awet Muda

Majalah Britain, Nature telah mendedahkan satu kajian saintifik bahawa puasa yang terancang atau separa akan menyebabkan keaktifan pada gen-gen yang berfungsi untuk merembeskan hormon-hormon yang akan membantu sel-sel untuk melambatkan proses penuaan terhadap manusia dan juga hormon-hormon yang akan menambahkan keaktifan tubuh. Hasil-hasil daripada kajian ini telah mengenal pasti bahawa proses penyediaan makanan dan penghadaman akan menghasilkan bahan-bahan beracun yang akan merosakkan sel-sel. Manakala pengurangan kuantiti makanan disertai dengan melakukan pergerakan yang banyak untuk membakar tenaga akan meningkatkan kesihatan dan dapat menghentikan proses pemusnahan.

Ia kemudian akan merendahkan proses metabolisme, menghasilkan protein yang efektif, meransang sistem imun dan pertambahan penghasilan hormon menyebabkan proses rejuvenasi atau permudaan yang akan memberikan jangka hayat yang lebih lama.

Dr Otto Buchringer dalam kajiannya menunjukkan bahawa berpuasa meremajakan sel-sel tubuh yang menua seperti panduan teori zat sisa. Ia juga disokong oleh kajian Allan Cott dalam bukunya Why Fast dengan dapatan puasa mampu berikan kesan awet muda, membersihkan badan, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, mengembalikan libido, mengendurkan ketegangan urat, menajamkan pancaindera dan boleh melambatkan proses penuaan. Sarjana biokimia Rusia, Vladimir Nikitin menyimpulkan bahawa tanpa memperoleh makanan, proses ketuaan manusia boleh dilewatkan. Beliau kemudian menguji puasa ke atas tikus putih yang biasa hidup selama dua setengah tahun dan hasilnya tikus tersebut boleh hidup sehingga empat tahun.

Kulit Cantik

Pakar kulit dari Universiti Kaherah, Dr Muhammad Dawahiri menyatakan, “Hubungan antara makan dan penyakit-penyakit kulit erat sekali. Kerana itu, berpuasa untuk suatu masa dapat mengurangi kadar air pada tubuh dan darah. Seterusnya mengurangkan kadar air pada kulit sehingga kulit mempunyai pertahanan yang kuat menghadapi penyakit-penyakit kulit yang diakibatkan oleh bakteria (mikrobia).”

Dengan berpuasa seluruh sistem kulit dapat berehat dan membebaskan semua beban berat yang diisi selama setahun. Antara penyakit kulit yang boleh dirawat dengan amalan puasa ialah jerawat, artekaria dan eksim.

Akhirnya terbukti bahawa puasa bukan sekadar satu ritus ibadah tetapi satu terapi mukjizat untuk kesihatan dan kelestarian hidup manusia. Walaupun dengan penemuan kajian saintifik sebegitu banyak, manfaat berpuasa adalah lebih daripada itu seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 85, “Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja” dan umat Islam sewajarnya menyambut seruan dalam Surah Toha ayat 144, “Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu,” dengan bukan sahaja berpuasa di siang hari tetapi juga berpantang makan di malam hari dan berpuasa bukan sahaja 29 hari daripada 365 hari lainnya.

Untuk permulaan mungkin boleh bermula dengan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Arafah, puasa hari Asyura, puasa tiga hari setiap bulan Qamariyah, puasa-puasa pada bulan Syaaban dan jika mahu lebih mencabar adalah puasa sunah Nabi Daud AS iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa secara berselang-seli.

No comments:

Post a Comment

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram...