Sudahkah kau pilih haluan hidup kau?

Adakah hidup ini suatu perlumbaan atau pertandingan?
Ketika aku kecil, guruku pernah berkata..
Hidup ini umpama perlumbaan dan juga pertandingan.
Yang lambat akan ketinggalan,
yang lemah akan kalah.
Maka banggakan ibu bapa kamu
Banggakan sekolah kamu,
Dan tanpa menoleh aku mula berlari sepantas boleh agar tidak kalah.
Aku tak ingat sudah berapa kali aku lihat ramai yang tertinggal jauh di belakang
dan jatuh tersungkur..
Namun aku terus berlari tanpa mempedulikan mereka.
Sehinggalah akhirnya aku berjaya sampai ke garisan penamat.
Sudah banyak perkara dalam kehidupan ini yang aku telah berjaya kecapi,
Keputusan peperiksaan cemerlang,
Menjejak kaki ke menara gading dan memperoleh segulung ijazah.
Membina keluarga,
Mendapat pekerjaan tetap.
Sehinggalah aku terlihat orang yang pernah jatuh
tersungkur pada suatu ketika dahulu kini telah berjaya,
malah lebih berjaya daripada aku.
Aku fikir perlumbaan ini masih belum tamat lagikah?
Bagaimana orang yang pernah di belakang aku suatu
ketika dahulu kini boleh jauh mengalahkan aku?
Aku silap,
kehidupan ini tidak pernah sama seperti perlumbaan mahupun pertandingan.
Dalam sebuah perlumbaan, semua orang akan bermula di garisan permulaan yang sama,
Namun dalam kehidupan, semua orang tidak bermula di garisan yang sama..
Cabaran orang yang lahir lebih awal,
tidak sama dengan orang yang lahir kemudian.
Dalam perlumbaan, semua orang bertanding dengan cara yang sama..
Namun dalam kehidupan, semua orang bertanding dengan cara yang berbeza..
Bergantung kepada nasib, rezeki dan kemampuan masing - masing,
Dalam perlumbaan, semua orang mengejar garis penamat yang sama.
Berbeza dengan kehidupan, Semua orang mengejar matlamat dan impian yang berbeza.
Andai kehidupan sebuah pertandingan bola sepak,
Andai kehidupan sebuah pertandingan tinju,
Andai kehidupan sebuah pertandingan badminton,
Andai kehidupan sebuah pertandingan,
Pasti ada yang mendapat kelebihan dan keistimewaan,
Pasti ada yang memperoleh kekurangan,
Peraturan pertandingan juga tidak adil,
Pengadil dan juri akan berat sebelah,
Peluang juga tidak sama rata bagi setiap peserta,
Hakikatnya..
Dunia memang tidak pernah adil.
Ada yang lahir ke dunia dengan timbunan emas,
Ada yang lahir di sebelah timbunan sampah,
Ada yang disayangi dan mudah mendapat peluang kerana beribu bapakan hartawan,
ada yang dibenci dan terus dilupakan hanya kerana berbapakan penagih dadah.
Maka bagaimana kehidupan itu harus menjadi perlumbaan,
mahupun pertandingan jika dari awal lagi semua pesertanya
tidak pun setaraf dan tidak akan bersaing dengan adil?
Oleh itu berhentilah membandingkan diri kita dengan orang lain,
Kerana kita pasti akan sentiasa merasa kalah,
Malah apa yang kita kejar pasti berbeza dengan orang lain,
Sebaliknya bandingkan diri kita yang dulu..
dengan diri kita yang sekarang.
Dan lihat sebanyak mana perubahan dan peningkatan
yang telah kita lakukan untuk diri kita.
Jika dalam perlumbaan, kita merasa gembira
apabila berjaya mengalahkan orang lain,
namun dalam kehidupan, kita tidak seharusnya
gembira apabila melihat orang lain jatuh.
Malah menjadi tanggungjawab kita untuk menarik mereka
bangun semula.
Dalam kehidupan tiada menang atau kalah, yang ada hanya
kejayaan dan kegagalan, namun ia boleh hadir awal,
lambat atau mungkin takkan muncul langsung dalam kehidupan kita.
Oleh itu bersyukurlah pada setiap kejayaan yang dibina,
Dan bangkitlah pada setiap kegagalan yang menimpa.
Akhirnya, tiada siapa yang kau harus kejar,
tiada siapa yang harus kau kalahkan,
melainkan diri sendiri.
Kerana kehidupan ini bukanlah suatu perlumbaan atau pertandingan,
sebaliknya sebuah perjalanan,
dan pengembaraan yang panjang,
hinggalah kita menemui pengakhiran yang abadi,
Sudahkah kau pilih haluan hidup kau?

No comments:

Post a Comment

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram...