Kisah Dzun Nun al-Mishri dengan Lelaki Misteri di padang pasir

Kisah Dzun Nun al-Mishri dengan Lelaki Misteri di padang pasir
Dzun Nun al-Mishri bercerita;  Aku suatu waktu pergi ke Hijaz tanpa teman. Dalam perjalanan, aku terdampar di gurun pasir. Bekal telah habis dan aku hampir mati. Waktu itulah kelihatan sebuah pohon dengan dahan rendah, ranting menunduk, dan daun lebat di tengah sahara. Aku berbisik dalam hati, "Aku akan menuju pohon itu untuk bernaung sambil menunggu takdir-Nya."
Ketika sampai dekat pohon dan hendak berteduh bawah naungannya, salah satu ranting menusuk kantung minumku hingga seluruh air yang baki di dalam-nya tumpah. Aku pun merasa kematian semakin dekat. Aku lalu merebahkan diri di bawah pohon, menanti datangnya Malaikat Maut. Tiba-tiba terdengar suara lirih dari hati yang sedih: "Wahai Tuhan, jika ini memang Kau redhai, tambahkanlah hingga Engkau redha kepadaku, wahai Yang Maha Penyayang."
Aku berdiri dan mencari sumber suara. Tiba-tiba aku melihat seseorang berwajah tampan dan berbadan tegap terbaring di atas pasir, sementara sejumlah burung nasar mengerumuni dan mematuk dagingnya. Aku mengucapkan salam kepadanya. Dia menjawab salam-ku dan berkata, "Wahai Dzun Nun, ketika bekal telah habis dan air telah tumpah, engkau merasa akan mati dan binasa." Aku kemudian duduk dekat kepalanya dan menangis kerana hiba dan kasihan.
Tiba-tiba setalam makanan terhidang di depanku. Lelaki itu lalu menendang tanah dengan tumit-nya dan memancarlah air yang lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu. Dia berkata, "Wahai Dzu al-Nun, makan dan minumlah! Engkau harus sampai ke Baitullah. Tetapi, aku punya permintaan kepadamu, wahai Dzu al-Nun. Jika memuaskan, engkau akan mendapat pahala dan ganjaran." Aku bertanya, "Apa itu?" Dia menerangkan, "Bila aku mati, mandikanlah aku dan kuburkanlah agar terhindar dari binatang buas dan burung, lalu silakan kau teruskan perjalananmu. Setelah menunaikan ibadah haji, engkau akan sampai ke bandar Baghdad dan masuk dari pintu Zafaran. Di sana engkau akan menjumpai anak-anak yang sedang bermain. Mereka mengenakan pelbagai pakaian. Di sana engkau juga akan menemui seorang anak belia. Yang dilakukannya hanyalah berzikir kepada Allah. Ada kain melingkar di pinggang dan bahunya. Di wajahnya tertoreh dua garis hitam akibat sering menangis. Itu adalah anak dan buah hatiku. Sampaikan juga salam kepadanya. "
Dzun Nun al-Mishri melanjutkan; Selesai berbicara, dia mengucap, "Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah," lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Semoga rahmat Allah tercurah kepadanya. "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un," ucapku. Kumandikan jenazahnya dengan air tadi, kemudian kukafani dengan pakaian dari begku dan ku-kuburkan. Setelah itu, aku meneruskan perjalanan menuju Baitullah. Aku melaksanakan ibadah haji kemudian berziarah ke makam Rasulullah saw. Dari Madinah aku berjalan menuju Baghdad dan sampai di sana pada hari raya. Aku melihat sejumlah anak dengan pelbagai pakaian sedang bermain. Aku menatap mereka lalu nampaklah seorang anak yang digambarkan oleh lelaki yang ku-temui di padang pasir. Si anak tidak terpikat pada hadiah dan hanya duduk seraya berzikir kepada Zat Yang Maha Mengetahui semua perkara tersembunyi. Ronanya menampakkan kesedihan. Di wajahnya terdapat dua garis hitam kerana sering menangis. Dia bersenandung;
Seluruh manusia bergembira dengan hari raya .. sementara aku bergembira dengan Allah Yang Maha Esa, Seluruh manusia menghias pakaian untuk hari raya .. sementara aku berhias dengan pakaian kehinaan dan duka. Seluruh manusia membersihkan badan untuk hari raya .. sementara aku membersihkan hati dengan air mata.
Aku mengucapkan salam kepadanya. Dia menjawab salamku dan berkata, "Selamat datang, utusan ayahku." Aku bertanya, "Siapakah yang memberitahu bahawa aku utusan ayahmu?" Dia menjawab, "Yang memberitahu bahawa engkau telah menanam ayahku di sahara. Wahai Dzun Nun, apakah kau kira engkau telah menanam ayahku? Demi Allah, ayahku telah diangkat ke Sidratul Muntaha. Ayuh kita berjumpa nenek!"
Anak itu memegang tanganku dan membawaku ke rumahnya. Sesampainya di pintu rumah, dia mengetuk pintu dengan perlahan. Tak lama kemudian, seorang nenek keluar menemui kami. Si nenek memandang seraya berkata, "Selamat datang, wahai orang yang telah melihat wajah buah hatiku." Aku bertanya, "Siapakah yang memberitahu bahawa aku telah bertemu dengannya?" Dia menjawab, "Yang memberitahu bahawa engkau telah mengafaninya dan kafan tersebut akan dikembalikan kepadamu. Wahai Dzun Nun, demi kebesaran dan keagungan Tuhan, kain yang dipakai anak-ku menjadi kebanggaan para malaikat di alam tertinggi."
Si nenek bertanya, "Wahai Dzun Nun, terangkan-lah kepadaku bagaimana engkau meninggalkan anak dan buah hatiku?", .. "Kutinggalkan dia di sahara di antara pasir dan batu. Dia telah memperolehi harapannya dari Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Pengampun," jawabku.
Setelah mendengar itu, si nenek memeluk si anak dan tiba-tiba keduanya menghilang. Aku tidak tahu apakah mereka diangkat ke langit atau ditelan bumi. Aku mencari-cari keduanya di setiap sudut rumah, namun tidak kutemui. Tiba-tiba terdengar-lah suara: "Wahai Dzun Nun, jangan meletihkan diri! Malaikat saja tidak berjaya mencari mereka." "Lalu, ke mana mereka?" tanyaku. Suara itu menjawab;
"Para syuhada mati kerana pedang kaum musyrikin, sementara para kekasih mati kerana rindu kepada Tuhan Rabul 'alamin. Mereka dibawa dengan kenderaan cahaya menuju syurga di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa."
Aku kemudian mencari beg kulitku yang hilang. Ketika kutemui, ternyata di dalamnya terdapat kain pembungkus jenazah orang itu dalam keadaan terlipat seperti asal. Semoga Allah meredhai mereka dan memberi kita manfaat melalui keberkatan mereka.
[Imam Ibnul Jauzi - Bahr ad-Dumu']


No comments:

Post a Comment

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram...