Mentaliti setiap orang berbeza - Dekat di mata jauh di hati

Mentaliti setiap orang berbeza - Dekat di mata jauh di hati
Perbezaan mentaliti (cara kita berfikir) adalah satu lumrah. Ia kerana kita berbeza pengalaman, agama, budaya, persekitaran dan sebagainya. Tetapi, akibat terlalu banyak berbeza, membawa kita kepada banyak salah faham dan "dekat di mata jauh di hati" sesama kita.
Antara beberapa perkara yang perlu kita diagnosis dan rawat kembali;
- Apabila kita kaya, kita memandang rendah orang miskin dan menganggap mereka kurang berusaha dan seumpamanya.
Apabila kita miskin, kita membenci dan dengki pada orang kaya dan lebih suka melihat mereka jatuh.
- Apabila kita sihat, kita merasa bangga kerana kita telah berusaha dan berjaya menjaga kesihatan. Dan kita memandang orang-orang yang sakit itu tidak pandai jaga kesihatan dan tidak berusaha seperti usahanya kita.
Apabila kita sakit, kita meluat tengok orang sihat dan kalau boleh mahu lihat mereka juga sakit seperti kita.
- Apabila hati kita tenang, kita merasa bahawa kita telah berjaya mengawalnya (hati) dan orang lain degil kerana tidak mahu buat seperti apa yang kita buat. Hasilnya, kita berbangga kononnya kitalah manusia yang tenang. Walhal, mungkin kita masih lagi belum kena ujian yang boleh menggugat hati kita. Jika sampai masanya baru tahu.
- Apabila kita banyak ilmu di dada, kita merasakan orang lain pemalas dan tidak berusaha seperti apa yang kita usahakan. Walhal kita lupa / tidak perasan, bahawa "tiada daya dan kekuatan melainkan dari Allah S.w.t". Ya, tak semua orang mampu buat seperti apa yang kita buat. Allah Ta'ala telah mengurniakan kemampuan masing-masing.  Masing-masing ada fungsi masing-masing. Takkan semua orang nak jadi Perdana Menteri belaka.
Apabila kita jahil sesuatu perkara, kita mula cari kelemahan dan kesalahan orang berilmu, untuk merendah-rendahkan mereka dan menyembunyikan kejahilan kita.
- Apabila kita sudah fanatik dengan pihak yang kita suka, kita sukar untuk melihat dan cuba memahami pihak lain. Malah kita terus menganggap bahawa hanya pihak kita sahaja yang betul dan baik, walaupun kita tidak sedar bahawa kita sudah menjadi berat sebelah, tidak adil dan seumpamanya.
- Apabila kita sudah ada selera atau suka terhadap suatu perkara, kita sukar menerima kesukaan dan selera orang lain. Lebih haru lagi hinggakan kita mudah mengutuk selera atau kesukaan orang lain. Selera manusia memang berbeza. Kenapa perlu sakit hati dengan selera orang lain? Masing-masing nikmati selera masing-masing. Janji HALAL.
Dan banyak lagi........
Kesimpulan
Parah kalau kita rasakan diri kita ini suci dan baik belaka, tanpa merasakan bahawa kita juga ada banyak kesalahan dan dosa. Begitu juga payah kita nak cari orang yang berani mengaku bersalah dan risaukan kesalahan diri sendiri, dibandingkan dengan orang yang sentiasa nak tunjuk baik di depan orang seolah-olah dirinya tidak ada melakukan kesalahan
Justeru, apa lah salahnya jika kita mahukan orang lain juga dapat kebaikan seperti apa yang kita dapat, dengan betul-betul IKHLAS. Bukan kerana sakit hati, busuk hati, bangga diri, merasa hebat, dan seumpamanya.

No comments:

Post a Comment

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI

LAGENDA SUMPAHAN MAHSURI Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram...